LoyaKita™ Headline Animator

Saturday, 13 July 2013

PRK Kuala Besut: SPR CIPTA SEJARAH

Perjalanan PRK Kuala Besut akan dirakam untuk dijadikan model.  Mungkin hasil rakaman ini akan ditonton umum untuk dijadikan model.

Rakaman ini akan menunjukkan ketelusan SPR dan menyangkal sebarang manipulasi untuk memancing undi.

Perjalanan PRK Kuala Besut dirakam

Utusan Borneo July 13, 2013, Saturday

KUALA BESUT: Buat pertama kalinya, pengurusan perjalanan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan dirakam untuk dijadikan model rujukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa depan.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pengendalian pengurusan PRK Kuala Besut setakat ini, bermula dari proses penamaan calon dilihat sebagai yang terbaik, berbanding PRK dan pilihan raya umum sebelum ini.

“Kita sedaya upaya nak buat PRK ini model SPR sebab itu apa yang berlaku hari ini (semalam – penamaan calon) sehinggalah ke tempoh berkempen, penjumlahan undi dan pengisytiharaan keputusan nanti semua akan dirakam,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Kuala Besut di Kompleks Rakan Muda Kampung Raja di sini semalam.

Wan Ahmad berkata SPR akan menggunakan rakaman perjalanan semua proses sepanjang PRK Kuala Besut sebagai landasan serta latihan kepada pegawai pada masa akan datang.

“Mungkin kita akan edarkan kepada media supaya dapat tontonkan kepada rakyat mengenai perjalanan sebenar pilihan raya di negara ini agar mereka tahu dan tidak tertipu dengan mana-mana pihak yang cuba memancing undi,” katanya.

Mengulas perjalanan proses penamaan calon semalam, Wan Ahmad berkata secara keseluruhannya ia berjalan dengan baik dan lancar sambil tidak menolak kemungkinan ia disebabkan bulan Ramadan.

“Kita tengok penyokong kedua-dua parti yang hadir berkelakuan baik…kalau tidak (bulan puasa) kita boleh dengar bahasa atau cacian yang sangat kasar,” katanya.

PRK Kuala Besut 24 Julai ini melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Mengenai larangan pemasangan replika pada kempen pilihan raya, Wan Ahmad berkata pada PRK Kuala Besut itu, polis memberi jaminan keselamatan kepada pegawai penguat kuasa kempen SPR dan akan merobohkan replika yang didirikan parti politik bertanding.

Beliau berkata pemasangan replika sebagai bahan kempen, menyalahi Seksyen 4 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana ia bukan sahaja bertujuan menarik minat dan menghantar mesej kepada pengundi, malah menyindir pihak lawan. — Bernama

Read more: http://www.theborneopost.com/2013/07/13/perjalanan-prk-kuala-besut-dirakam/#ixzz2YuaRbSDS

0 comments:

Post a Comment