ADUN N65 Senadin mengingatkan rakyat agar tidak terikut budaya negatif pembangkang. Mereka suka membuat demonstrasi jalanan yang akan mengakibatkan ekonomi kita menjadi tidak baik. Bayangkanlah sikap buruk ini dipamerkan di hadapan pelabur asing? Tentu mereka akan golong tikar dan melabur di kawasan lain. Pelabur memerlukan keadaan ekonomi dan politik yang stabil untuk melabur dan bukan di negara yang sentiasa mengadakan demonstrasi.
Kesan ini akan memburukkan imej negara di mata dunia. Tentu sekali pelancong akan berfikir dua kali sebelum melawat Malaysia pada tahun 2014 kelak?
Semoga rakyat Malaysia sedar bahawa tiada kebaikannya yang timbul sekiranya menyokong pembangkang… apa yang pembangkang dapat lakukan setakat ini?
Lagi lagi demonstrasi! Lagi lagi tidak puas hati! Lainkalilah….
Masyarakat harus menolak budaya negatif pembangkang
Posted on May 13, 2013, Monday
MIRI: Masyarakat harus menolak budaya negatif yang dibawa oleh pembangkang melalui perhimpunan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini.
Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin memberitahu, perhimpuan bantahan itu amat bercanggah dengan toleransi politik yang telah diamalkan di negara ini.
“Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13 baru-baru ini, mereka sepatutnya melaporkan hal (tidak berpuas hati) itu ke saluran yang betul, daripada melakukan perhimpunan bantahan yang hanya akan menyumbang kepada keadaan huru-hara dalam masyarakat.
“Bahkan perhimpunan bantahan yang dilakukan di tempat-tempat atau negara lain bagi menyelesaikan masalah itu sama sekali tidak akan mendatangkan hasil,” katanya pada Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Belia Miri, di sini malam kelmarin.
Justeru beliau mengkritik pembangkang yang melakukan perhimpunan bantahan itu yang langsung tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
“Terdapat agenda tersembunyi di sebalik perhimpunan bantahan itu. Rakyat tidak seharusnya terpengaruh dan tahu agenda di sebalik perhimpunan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai pelbagai tuduhan terhadap proses pilihan raya yang terus disebarkan di laman-laman sosial.
Media sosial dan rangkaian seperti blog, Facebook atau Twitter yang sepatutnya digunakan untuk tujuan baik telah disalah guna oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Maklumat yang dipaparkan di laman sesawang daripada sumber yang tidak diketahui tidak semestinya 100 peratus benar.
“Apa pun, agak sukar untuk memahami mengapa sesetengah pihak mempercayai pelbagai tuduhan tanpa memeriksa dahulu fakta yang betul. Ini amat membimbangkan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai organisasi belia Miri, beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan jawatankuasa baharu berkenaan.
Justeru, Lee mahu organisasi terbabit memainkan peranan mereka secara proaktif dengan menjalankan aktiviti-aktiviti sihat bagi merangsang pembangunan belia yang lebih baik di sini.